Kitab pertanian yang dihasilkannya itu
berjudul “al-Filahah” yang mengandungi 34 fasal atau bab. Ia terbahagi
kepada dua bahagian iaitu pertanian dan penternakan. Bahagian pertama menceritakan cara
memilih tanah dan bagaimana untuk menyuburkannya, memilih pupuk,
menyalurkan air dan cara menanam dan memilih benih pokok sama ada
sesuai ditanam atau tidak. Seterusnya beliau menerangkan cara
menguruskan kebun bermula daripada kaedah memilih benih, jenis pokok
yang boleh ditanam dan sesuai dengan tanah serta kawasan.
Beliau juga menunjukkan cara bagaimana
untuk menyuntik pokok, mengahwinkan pokok, menyembuhkan penyakit pokok,
serta cara menyimpan benih dan cara menyimpan buah-buahan yang kering
atau basah. Dalam bahagian kedua kitab “al-Filahah”
pula, Ibnu Awwam menerangkan mengenai dunia penternakan haiwan. Pada
bab ini beliau menerangkan bagaimana menternak haiwan dan merawatnya
termasuk cara pembedahan yang patut dilakukan ke atas haiwan sekiranya
dihinggapi penyakit. Kitab Tersebut juga mempunyai satu bab
khusus mengenai cara-cara memelihara kuda, termasuk pemakanan haiwan,
dan rawatan yang harus diberikan. Selain itu beliau turut menerangkan
cara bagaimana menunggang kuda, sama ada menunggang dengan membawa
senjata atau tanpa senjata.
Ketinggian ilmu beliau dalam bidang
penternakan tidak dapat dipertikaikan. Beliau turut menerangkan cara
untuk memelihara unggas dengan sempurna dan baik malah beliau mampu
mengulas secara terperinci. Oleh kerana bukunya mengenai pertanian
dan penternakan itu dianggap sangat berguna, maka ia telah
diterjemahkan kepada beberapa bahasa antaranya bahasa Sepanyol (dicetak
di Madrid-1802), Seville (1878) dan bahasa Perancis (dicetak di Paris
1865). Dalam bidang tersebut, beliau telah
mengkaji terlebih dahulu sebelum menghasilkan resolusi yang berkaitan
dalam pertanian dan penternakan. Ibnu Awamm dianggap sebagai tokoh dan
ilmuan yang sangat teliti dalam mengembangkan ilmu yang diketahuinya.
Beliau menulis bukan saja berdasarkan
teori semata-mata tetapi berasaskan amalan yang dilakukannya terlebih
dahulu dan mempraktikkannya. Sekiranya sesuatu tumbuhan itu tidak
sesuai di sesuatu kawasan, beliau akan menyenaraikan sebab yang terjadi
dan menerangkan apa yang harus dilakukan seterusnya. Ini membuktikan
bahawa beliau seorang tokoh yang bertanggungjawab dan jujur dalam
mengembangkan ilmu pertanian. Selain itu, Ibnu Awwam juga berjaya
mencipta cara menghasilkan pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni dan
menghasilkan buah epal di luar musim. Kisah tokoh ilmuan ini telah
menjadi kebanggaan umat Islam pada masa kini.
Hasil karya-karya beliau telah banyak diterjemahkan dalam pelbagai bahasa untuk rujukan terutama para petani dan peladang.
Dalam riwayatnya, beliau pernah berkata ;
“Sesiapa yang menyemai semaian atau terlibat dalam pertanian, lalu
hasilnya dimakan oleh manusia, burung atau haiwan maka ia adalah
sedekah bagi dirinya.”
0 komentar:
Posting Komentar